Samarinda, namanya indah. Seindah kain sarung Samarinda yang sering dijajakan di negeri kami. Perjalanan dan pengalaman di Samarinda juga tidak kurang indahnya bagi kami yang pertama kali menjejak kaki ke bumi Bung Karno dan Pak Harto ini.
Perjalanan kami begitu panjang dan memenatkan. Kami memulakan perjalanan meninggalkan Kepulauan Borneo menuju ke Pulau Jawa ketika jam menghampiri tengah malam. Perkenalan kami dengan Kota Jakarta hanya sempat dibuat di Bandaranya sahaja. Esoknya, seawal 6.30 pagi kami akan bergerak kembali ke Kepulauan Borneo iaitu ke Kalimantan Timur. I t was funny to think that you are actually hopping from one island to another island and then back to the first island.
Kami disambut dengan kesibukan bandara atau "airport" Balikpapan. Manusia begitu ramai berjalan ke sana sini. Tidak cukup dengan mereka yang ingin menyambut teman dan saudara yang tiba atau menghantar keluarga yang berpergian, lapangan terbang kecil itu juga banjir dengan kehadiran porter2 yang menunggu upah barang seribu dua untuk mengangkat barangan tetamu yang tiba.
Perjalanan kami masih jauh. Di luar kami disambut kakitangan dari UNMUL atau Universiti Mulawarman. Kami kemudiannya menaiki teksi "Kijang" menuju ke Samarinda. Pemandu kami baik dan ramah orangnya. Namanya Ari. Dia tidak pernah lokek dengan tawa dan usikannya. Apatah lagi semua yang ada di dalam teksi itu pun banyak bertanya dan bercerita dengan beliau. Dari Ari kami mengenal bangsa Kutai. Bangsa asli di Kalimantan Timur. Darinya juga kami mengetahui bahawa bumi Samarinda juga dihuni masyarakat dari Pulau Jawa, Semarang dan Riau yang nekad merantau sehinnga ke Pulau Borneo dalam usaha menghidupkan keluarga masing-masing.
Setelah tiga jam di dalam kenderaan, akhirnya kami sampai ke tujuan. Hotel MJ Samarinda. Hotelnya tidak terlalu besar. Namun kedudukannya paling strategik kerana begitu hampir dengan pusat2 jualan dan jajaan di kota kecil ini. Tiba di hotel tiada lain yang ingin dibuat melainkan mandi dan berehat juga tidur dalam seminit dua.
Ini semua baru permulaan. Samarinda banyak menyimpan kenangan dan pengalaman indah. Makanannya, rakyatnya juga sekitarnya begitu menarik untuk dibicarakan. Mungkin di kesempatan lain. Cukuplah ini sekadar pengenalan....
Comments